28 PELAJAR BAITUL HASANAH, KLANG SERTAI PUSAT TUISYEN PERINTIS DIDIK

Pada 29 Mei baru-baru ini, Pusat Tuisyen Perintis Didik menerima kunjungan pelajar-pelajar dari Kompleks Baitul Hasanah, Klang. Kira-kira 28 pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini telah mendaftar di Pusat Tuisyen Perintis Didik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi.

Sebelum memulakan sesi tuisyen, Cikgu Sam Ismail telah menyampaikan kata-kata aluan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan pelajar-pelajar dari Baitul Hasanah kerana telah memberi kepercayaan kepada barisan tutor Pusat Tuisyen Perintis Didik untuk mengajar pelajar-pelajar berkenaan.

Pusat Tuisyen Perintis Didik sentiasa menyokong mana-mana organisasi yang ingin bekerjasama bagi memajukan dan meningkatkan pemahaman para pelajar tidak kira secara individu atau berkumpulan. Ucapan jutaan terima kasih kepada Cikgu Afiq kerana memilih Pusat Tuisyen Perintis Didik. Semoga perhubungan persaudaraan antara Kompleks Baitul Hasanah dan Pusat Tuisyen Perintis Didik diteruskan pada tahun-tahun akan datang.Pelajar Baitul Hasanah

Baitul Hasanah Klang adalah sebuah asrama yang menempatkan anak-anak asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor (Mais). Mula beroperasi pada tahun 2009 dan pengambilan pertama pelajar adalah pada tahun 2010.

Asrama Baitul Hasanah Klang dibina di atas tanah berkeluasan tiga ekar.  Terdapat sebuah bangunan asrama dan bangunan surau. Bangunan asrama terdiri daripada asrama pelajar putera, asrama pelajar puteri, dewan makan, perpustakaan, bilik bacaan, dewan tertutup, dewan terbuka dan pejabat. Kakitangan di Baitul Hasanah adalah seramai 29 orang yang bertugas sebagai naqib, naqibah (pengurusan kebajikan), pengurusan pembangunan pelajar dan pengurusan pejabat.

Bilangan pelajar yang menginap di Baitul Hasanah pada 2014 adalah seramai 154 pelajar. Pelajar-pelajar ini dihantar bersekolah di sekolah berdekatan dengan asrama. Bas disediakan untuk mereka sebagai pengangkutan ke sekolah. Semasa cuti sekolah pelbagai program telah dirancang untuk pelajar mengisi masa sepanjang mereka berada di asrama.

 

Comments are closed.