Motivasi

School icons

PILIHAN HATI ATAU TUNTUTAN SEKELILING?

Oleh: Cikgu Sam Ismail

“Ibu mahu saya menjadi seorang Doktor. Bapa pula seorang ahli perniagaan yang berjaya dan selalu mengajar saya selok-belok dunia usahawan. Kawan-kawan di dalam kelas selalu bercerita hendak menjadi jurutera dan arkitek yang berjaya. Saya tidak seperti kawan-kawan saya yang lain. Saya merupakan Tokoh Pelajar Bahasa Melayu, gemar membaca buku ‘Shakespears’, pernah memenangi pingat Johan dalam pertandingan Pidato, Syarahan dan Debat. Saya memperoleh A1 dalam mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Saya bijak dalam bidang Sains dan mahir dalam kesusasteraan. Apakah kursus yang paling tepat untuk diri saya? Peningnya kepala!”, siang dan malam Hariz memikirkan kursus yang hendak dipohon sejurus mendapat keputusan SPM baru-baru ini.

Pemilihan kursus dan jurusan adalah satu lagi cabaran baru yang akan ditempuhi oleh pelajar-pelajar selepas mendapat keputusan SPM. Setelah bertungkus lumus selama dua tahun, pelajar-pelajar pasti menghadapi kesukaran untuk memilih kursus pengajian di peringkat universiti atau kolej. Pelajar seharusnya bijak membuat pilihan seiring dengan minat dan kursus yang telah dipelajari semasa di peringkat sekolah selain mempunyai kelayakan minimum dalam sesuatu kursus yang dipohon.

Ada segelintir pelajar dari aliran Sastera telah mengambil langkah dengan memohon jurusan Sains di peringkat universiti. Walaupun pelajar ini mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat tempat dalam kursus berkenaan tetapi ada di antara mereka tersungkur di tengah jalan kerana gagal untuk mengikuti silibus pelajaran dan terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar yang sudah mempunyai asas dalam kursus tersebut.

Saya ingin berkongsi satu cerita tentang seorang pelajar yang telah menamatkan pengajian di salah sebuah sekolah teknik dalam bidang Perkhidmatan dan Hospitaliti. Pelajar ini mendapat keputusan yang sangat memberangsangkan dan layak untuk memohon mana-mana kursus diperingkat Diploma dan Pra Ijazah. Tetapi, atas desakan keluarga, pelajar ini dipaksa memohon kursus aliran Sains dan Teknikal di salah sebuah universiti tempatan. Tidak sampai setahun pengajian, beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti apabila menyedari minat dan jiwanya masih lagi serasi dalam bidang perkhidmatan dan hospitaliti.

Terdapat satu lagi cerita tentang seorang pelajar sekolah aliran Sains yang telah memohon jurusan Sastera di sebuah universiti awam. Walaupun pelajar ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan pembelajaran kursus yang dipohon, tetapi kerana pengaruh rakan-rakan yang menyambung pelajaran dalam bidang Sains telah menyebabkan beliau menghadapi tekanan dan terus berhenti belajar.

Perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku. Ramai di antara pelajar-pelajar memilih kursus kerana telah dipengaruhi oleh rakan sebaya, desakan ahli keluarga dan juga pengaruh iklan-iklan di media massa. Pelajar-pelajar hendaklah mengenalpasti minat dan potensi diri ketika memilih kursus di universiti. Sebagai contoh, sekiranya anda belajar dalam aliran Sains, kursus yang paling tepat adalah bidang kejuruteraan, senibina, sains gunaan, teknologi maklumat atau mana-mana jurusan yang menawarkan kursus berasaskan Sains.

Sekiranya anda mempunyai kelulusan yang baik dalam bidang kira-kira, anda patut memohon kursus seperti perakaunan, ekonomi, pengurusan perniagaan, kewangan dan seumpamanya. Jika anda gemar dalam bidang sastera dan sosial, pengurusan pemasaran, komunikasi massa, perhotelan, perundangan adalah pilihan yang paling tepat. Tanya diri anda, apakah yang anda rasakan sesuai dan dapat menjamin masa depan anda. Ingat, anda yang akan menentukan masa depan anda.